Penyerang Barcelona itu pernah membuat kenyataan yang mengejutkan seluruh dunia apabila tidak mahu bermain lagi untuk Argentina apabila pasukan itu tewas kepada Chile pada final Copa America di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Messi menjelaskan dia masih mahu berkhidmat untuk negaranya kerana lebih suka untuk ‘membantu dari dalam’.
“Saya menganggap terdapat banyak masalah yang berlaku dalam bola sepak Argentina dan bukanlah niat saya untuk menambah lagi permasalahan yang ada.
“Terdapat banyak isu yang perlu diselesaikan dalam bola sepak Argentina dan saya lebih suka untuk membantu secara terus dari dalam dan tidak mengkritik dari luar,” kata pemain berusia 29 tahun itu.
Tambahnya, dia agak terganggu dengan beberapa perkara yang bermain di fikirannya setelah kalah pada final kejohanan tersebut dan benar-benar mahu berhenti bermain di peringkat antarabangsa, namun semangat mengharumkan nama negara menyebabkan Messi mengubah keputusan drastik yang dilakukannya itu.
Beberapa jam selepas Messi mengumumkan untuk keluar daripada persaraan, jurulatih baharu Argentina, Edgardo Bauza memanggil bintang Barcelona itu bagi menentang Uruguay dan Venezuela untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung pada awal September depan.