Misi Peng Soon-Liu Ying kini adalah mengubah warna pingat mereka apabila bertemu Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia esok dalam perlawanan akhir pertama di gelanggang badminton di Riocentro di sini.
Pasangan yang tidak diberi harapan untuk mengutip pingat itu mara ke perlawanan akhir selepas membenam naib juara Olimpik London 2012 yang juga pasangan beregu campuran keenam terbaik dunia Xu Chen-Ma Jin dari China.
Dalam perlawanan dalam separuh akhir yang berlangsung selama 47 minit malam ini, Peng Soon-Liu Ying mempamerkan aksi meyakinkan dalam set pertama, selepas berjaya menghidu kelemahan Ma Jin yang gagal mengawal tekanan, untuk meraih kemenangan mudah 21-12.
Dalam set kedua, pasangan China itu mula bangkit untuk merapatkan jurang pungutan mata sehingga nyaris memotong wakil negara namun Peng Soon dan Liu Ying mengekalkan fokus mereka untuk menang 21-19.
Ditemui selepas perlawanan, Peng Soon mengakui sukar untuknya mempercayai kejayaan melangkah ke final.
“Seperti tak percaya, tetapi kita sudah capai kejayaan, kami sangat gembira. Saya tak fikir lagi sangat tentang final, kita selesaikan satu persatu.
“Kami tak tertekan dalam perlawanan separuh akhir malah jurulatih juga minta kami main macam biasa,” katanya.
Sementara itu, Liu Ying berkata, mereka memanfaatkan tekanan yang dirasakan pasangan Ma Jin-Xu Chen untuk melakar kejayaan.
“Mereka lebih tertekan kerana berstatus pemenang pingat perak di London,” katanya.
Perlawanan akhir beregu campuran dijadualkan berlangsung pada pukul 12.30 tengah hari Rabu ini (11.30 malam waktu Malaysia).
Sementara itu beregu No. 3 dunia Tontowi-Liliyana mara ke perlawanan akhir selepas menumbangkan satu lagi pasangan China yang juga pemenang pingat emas Olimpik London 2012, Zhang Nan-Zhao Yunlei.
Peng Soon-Liu Ying turut beraksi dalam Olimpik London 2012 namun kalah semua perlawanan peringkat kumpulan.
Rekod pertemuan antara mereka memihak kepada pasangan Indonesia itu, yang turut menang dalam pertemuan terakhir mereka di peringkat kumpulan minggu lalu.