Atlet berusia 23 tahun itu telah membuat lontaran sejauh 22.52 meter, sekali gus memecahkan rekod Olimpik yang sebelum ini dipegang oleh Ulf Timmermann dari Jerman Timur pada 1988.
Kejayaan Crouser itu dicapai selepas Michelle Carter, berjaya meraih pingat emas pada lontaran terakhirnya dalam acara lontar peluru wanita dan AS kini kembali mengungguli acara tersebut dalam Olimpik yang menyaksikan negara tersebut mempunyai 18 pemenang pingat emas daripada 28 juara sebelum ini.
Crouser juga dilihat tidak mempunyai pencabar terdekat dalam saingan tersebut kerana dia merupakan satu-satunya peserta yang berjaya membuat lontaran melebihi 22m.
Rakan senegaranya yang juga juara dunia, Joe Kovacs sekadar berpuas hati dengan pingat perak, manakala Tomas Walsh dari New Zeland merangkul pingat gangsa.
Bekas juara Olimpik 2012 dan 2008, Tomasz Majewski dari Poland hanya menamatkan saingan di tempat keenam setelah berkali-kali membuat kesilapan yang menyaksikan atlet berkenaan sekadar merekodkan dua lontaran yang sah daripada enam percubaan.