Malah beliau menegaskan, seharusnya ada sikap hormat-menghormati terhadap kerjaya masing-masing dalam kalangan semua pihak termasuk pemain dan pihak pengurusan pasukan bola sepak yang harus menghormati tugasan pengadil.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Felda United semalam yang menyaksikan tiga percubaan skuad Harimau Selatan telah melepasi garisan gol namun gagal dikesan oleh pengadil perlawanan, Fairuzi Mat Desa serta pembantunya.
“Saya tengok perlawanan malam tadi dan ramai mengatakan gol dan pengulas juga menyatakan gol tetapi adakah 100 peratus kita pasti bola itu gol atau tidak? Dari segi taktikal kita kena tengok dan pastikan bola itu melepasi garisan gol sepenuhnya atau tidak.
“Contohnya Safiq Rahim yang mengambil sepakan itu macam mana dia boleh pastikan bola itu masuk sedangkan dia berada di hadapan pemain yang ramai. Di mana yang boleh dia (Safiq) pastikan bola itu gol. Jadi itu dari sudut logik kita tidak dapat pastikan.
“Jika kita berada di sudut garisan gol maka itulah cara yang boleh mengenal pasti dengan tepat. Kemudian kelajuan bola yang sangat pantas di mana bola terkena palang sebelum melantun dan itu dari sudut hukum fizik. Secara logik adakah ianya dapat dikenal pasti dengan tepat oleh pengadil.
“Jadi jika masing-masing tidak boleh memberi kepastian dengan tepat maka kita harus balik kepada asas iaitu menghormati keputusan pengadil perlawanan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.