Hull yang baru kemba­li dalam liga utama musim ini berjaya me­numpaskan juara bertahan, Leicester City dan Swansea City dalam dua perlawanan pertama, meskipun kehilangan pengurus dan hanya mempunyai 13 pemain senior yang cergas.

Pengurus sementara mereka yang juga bekas pemain dan jurulatih United, Mike Phelan bakal dilantik sebagai pengendali tetap jika mampu menonjolkan prestasi terbaik Hull dan perkara itu telah menarik perhatian Mata.

“Kami bakal ditentang hebat oleh Hull. Mereka telah kembali ke liga musim ini dan memulakan saingan dengan penuh kejutan. Kami akan cuba untuk memenangi perlawanan ter­sebut dan meneruskan kecemerlangan pasukan.

“Kita masih di bulan Ogos dan perlu menyesuaikan diri dengan cara pengurus baharu. Kami tahu ada banyak lagi perkara yang boleh diperbetulkan supaya benar-benar menjadi asas kepada corak permainan pasukan untuk musim ini,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan tumpuan Ahad ini, Pep Guardiola bakal menurunkan Claudio Bravo buat kali pertama biarpun penjaga gol Chile itu baru tiba di Manchester City sejak perpindahan bernilai 17 juta pound (RM90.23 juta).

Guardiola telah mengambil tindakan berani dengan menyisihkan penjaga gol utama England, Joe Hart daripada kesebelasan utama sejak mengambil alih City musim ini dan dia dijangka melakukan perkara yang sama apabila bertemu West Ham United.

“Claudio (Bravo) adalah seorang penjaga gol yang bagus dan merupakan pemain yang diperlukan skuad ini. Dia mempunyai pengalaman dan ciri-ciri kepimpinan yang baik,” Guardiola.

Dalam pada itu, Chelsea yang bagaikan telah ‘dihidupkan semula’ sejak diambil alih oleh Antonio Conte akan menerima kunju­ngan Burnley di depan penyokong sendiri di Stamford Bridge, esok.