Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, kemampuan Hendrawan melatih pemain tidak perlu dipertikaikan kerana jurulatih itu berjaya meletakkannya kembali sebagai pemain utama dunia dalam masa singkat selepas kembali daripada penggantungan lapan bulan akibat kesalahan doping.
Katanya, khidmat juara dunia 2001 itu bersama seorang lagi jurulatih perseorangan Tey Seu Bock masih diperlukan untuk membantu menaikkan kualiti pemain perseorangan negara yang lain termasuk Iskandar Zulkarnain Zainuddin.
“Saya berharap Hendrawan dan Seu Bok kekal dalam skuad kebangsaan untuk bantu pemain lain untuk bangkit meraih kejayaan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Perkara ini sebenarnya tak perlu saya cakap, Hendrawan sudah berada di Malaysia enam tahun, BAM juga tahu kemampuan dia selama ini.
“Bagi saya sendiri, selepas kes doping, dia berjaya bawa saya kembali sebagai pemain No.1 daripada kedudukan 182 dalam masa 14 bulan dan ini sudah cukup untuk membuktikan kemampuannya,” katanya selepas majlis penyampaian insentif XOX Mobile untuk pemenang pingat Sukan Olimpik Rio 2016, di sini hari ini.
Sebelum ini, difahamkan, Hendrawan berhasrat untuk meninggalkan skuad badminton negara selepas Olimpik Rio.
Sementara itu, Chong Wei berkata dia berkemungkinan besar tidak akan beraksi dalam Sukan SEA 2017 ekoran pertindihan tarikh dengan Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung di Scotland tahun hadapan.
“Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin) memberitahu skuad badminton bahawa mereka yang layak ke Kejohanan Dunia perlu beraksi di sana dan beri peluang kepada pemain muda untuk beraksi dalam Sukan SEA,” katanya.
Dalam pada itu, Chong Wei turut membidas pihak yang mendakwa dia memiliki aset melebihi RM300 juta yang tersebar di laman-laman sosial.
“Kalau ada (aset RM300 juta), saya berhenti main badminton dan duduk rumah, tidak perlu bekerja. Mustahil ahli sukan di Malaysia untuk mengumpul aset sebanyak itu, hendak dapat RM10 juta pun susah,” katanya.