Pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere dipinjamkan dalam tempoh semusim ke Bournemouth setelah sering dibelenggu kecederaan, manakala penyerang bermasalah Liverpool, Mario Balotelli menutup buku di Anfield selepas disahkan menyertai kelab Perancis, Nice.
“Saya sangat gembira dapat menyertai semula Chelsea. Kami mempunyai cerita menarik ketika kali pertama menyertai kelab ini.
“Saya mahu membantu pasukan dan pengurus Antonio Conte meraih banyak kejayaan,” kata Luiz selepas dua tahun berada di PSG, menerusi laman web Chelsea setelah menandatangani kontrak tiga tahun.
Dalam pada itu, juara bertahan Leicester City memecahkan rekod perpindahannya dengan menandatangani penyerang Islam Slimani dari Sporting Lisbon. Kelab Portugal itu berkata, penghijrahan pemain itu bernilai 30 juta euro (RM136.42 juta), dengan jangkaan pertambahan sebanyak 5 juta euro (RM22.74 juta).
Pemain berusia 28 tahun itu dijangka mengikuti jejak langkah rakannya, Riyad Mahrez dari Algeria, yang membantu skuad Foxes membuat kejutan memenangi Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Sementara itu City, yang dibimbing jurulatih baharu, Pep Guardiola melepaskan Joe Hart, Wilfried Bony, Samir Nasri, Eliaquim Mangala dan Jason Denayer secara pinjaman sepanjang musim ini.
Tottenham Hotspurs menamakan tiga pemain sebelum jendela perpindahan ditutup pada malam tadi, dengan pemain tengah Moussa Sissoko disahkan menyertainya dari Newcastle.
Perpindahan Sissoko dilaporkan menelan belanja 30 juta pound (RM160.71 juta), di samping pemain sayap Georges-Kevin Nkoudou turut mengesahkan perpindahan ke Spurs dari Marseille. Penjaga Gol, Pau Lopez tiba dari Espanyol secara pinjaman.
Ia adalah hari terakhir yang paling sibuk dengan pertukaran pemain untuk kelab-kelab Liga Perdana Inggeris, yang secara kolektif membelanjakan lebih daripada 1 bilion pound (RM5.36 bilion) buat kali pertama dalam tempoh perpindahan.
Malah, hampir 1.2 bilion pound (RM6.43 bilion) dipungut sepanjang jendela perpindahan pertengahan tahun dengan 20 kelab merebut gelaran juara musim ini, 13 daripadanya memecahkan rekod perpindahan.