Juara 2013 dan 2010 itu ditunjukkan jalan keluar oleh pemain berusia 22 tahun dari Perancis, Lucas Pouille 1-6, 6-2, 4-6, 6-3, 6-7 (6/8) dalam pertarungan sengit yang berlangsung di Flushing Meadows.
“Saya memberi tentangan hingga ke akhir perlawanan. Ada kalanya, saya boleh melakukan yang lebih baik. Saya mempunyai sikap yang baik dan tidak mengaku kalah.
“Bagaimanapun, saya memerlukan sesuatu yang lebih daripada itu dan ia tidak hadir hari ini. Saya akan terus berusaha untuk memastikan segala-galanya lebih baik pada masa akan datang,” kata bekas pemain No. 1 dunia dari Sepanyol itu.
Nadal, 30, kembali ke gelanggang setelah dua bulan tidak beraksi akibat kecederaan lengan yang menyebabkan dia terpaksa menarik diri daripada Terbuka Perancis dan Wimbledon bagi persediaan untuk menghadapi Sukan Olimpik Rio bulan lalu.
Pada ketika banyak laporan mengatakan kecederaan lengan Nadal semakin pulih, namun pemilik 14 kejuaraan Grand Slam itu sedar, dia memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.
“Benar yang saya tidak terlibat dalam banyak perlawanan dalam tempoh tiga hingga empat bulan lalu, tetapi ia ibarat saya kehilangan peluang. Saya hilang peluang untuk beraksi dengan baik dalam kejohanan ini,” katanya.
Ketika Nadal masih kecewa gagal memenangi kejuaraan Grand Slam pertama sejak kali terakhir menjuarai Terbuka Perancis 2014, nasib berbeza dialami pemain No. 1 dunia, Dojak Djokovic apabila melangkah mudah ke suku akhir, sekali gus menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan.
Bintang Serbia itu mengetepikan pemain bukan pilihan dari Britain, Kyle Edmund 6-2, 6-1, 6-4, sekali gus menempah pertemuan dengan pilihan kesembilan dari Perancis, Jo-Wilfried Tsonga.
Tsonga mara selepas menumpaskan wakil terakhir AS dalam perseorangan lelaki, Jack Sock 6-3, 6-3, 6-7 (7/9), 6-2.
“Pukulan ke belakang gelanggang, pukulan kilas serta depan benar-benar menjadi hari ini.
“Saya sangat gembira dengan permainan saya,” kata Djokovic, yang memburu kejuaraan ketiga selepas muncul juara 2011 dan 2015.