Mueller bijak mengambil kesempatan di atas kepincangan pertahanan Norway untuk meletakkan juara dunia itu di depan sebelum menanduk gol ketiga dalam aksi Kumpulan C.
Malah, penyerang Bayern Munich itu juga turut melakukan gerakan untuk membantu rakannya, Joshua Kimmich menjaringkan gol pertama di pentas antarabangsa.
Juara Piala Dunia 2014 itu turun beraksi tanpa kelibat bintang Jerome Boateng, Mario Gomez dan Andre Schuerrle, malah Lukas Podolski serta Bastian Schweinsteiger pula sudah bersara daripada pentas antarabangsa.
Dalam perlawanan tersebut, skuad Die Mannschaft menguasai 68 peratus penguasaan bola dan hampir keseluruhan permainan berada di kawasan Norway.
Penjaga gol Jerman, Manuel Neuer yang diberi peranan sebagai kapten tidak menerima cabaran apabila tiada satu pun percubaan tepat dilakukan oleh lawan.
“Kami menguasai segala-galanya, kami tidak membenarkan Norway untuk beraksi malah kami tidak membenarkan mereka menjaringkan sebarang gol. Saya gembira dengan persembahan pasukan.
“Bagus untuk Mueller kerana dapat menjaringkan gol dan itu bagus untuk kami.
“Saya lebih gemar dia menjaringkan gol pada kejohanan Eropah (Euro 2016),” kata jurulatih Jerman, Joachim Low.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu keputusan berpihak kepada Norway apabila menang 1-0 dalam aksi persahabatan pada 2009.
Namun hari ini, tuan rumah tidak mempunyai perancangan malah mempamer aksi mengecewakan sehingga membenarkan lawan membolosi gawang mereka dengan pantas.
Benteng pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola daripada kawasan mereka dan Mueller yang gagal meledak gol pada Euro 2016 berjaya menjaringkan gol pembukaan dari jarak dekat pada minit ke-16.
Jerman, yang tidak pernah menentang Norway dalam perlawanan kompetetif sejak 1953 menjaringkan gol kedua menerusi percubaan Kimmich selepas menerima lorongan cantik daripada Mueller pada minit ke-45.
Jaringan ketiga diperoleh menerusi tandukan Mueller berpunca daripada hantaran lintang rakannya, Sami Khedira pada minit ke-60 sekali gus menjaringkan gol ke-34 di pentas antarabangsa.