Updated: September 7, 2016
MONTEVIDEO 7 Sept. – Bintang Uruguay, Edinson Cavani meledak dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan Paraguay 4-0 di halaman sendiri sekali gus menduduki tangga teratas kumpulan zon Amerika Selatan kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi tadi.
Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu menjaringkan dua gol pada setiap babak di Estadio Centenario untuk membolehkan juara Piala Dunia dua kali itu mengutip tiga mata penuh.
Kemenangan dalam perlawanan tersebut sememangnya menjadi keutamaan jurulatih, Oscar Tabarez selepas mereka tumpas, 0-1 kepada Argentina pada Khamis lalu.
Cavani membuka akaun gol dalam perlawanan tersebut pada minit ke-18 menerusi sepakan voli dari jarak dekat berpunca daripada gerakan bintang Barcelona, Luis Suarez.
Cristian Rodriguez kemudiannya menggandakan jaringan tiga minit sebelum rehat selepas menanduk bola masuk ke dalam gawang dan Suarez menjadikan kedudukan 3-0 selepas menyempurnakan penalti pada minit ke-45. Sembilan minit selepas babak kedua bersambung, Cavani sekali lagi mengegarkan gawang Paraguay bagi mengesahkan kemenangan pasukannya.