Ingatan ini ditegaskan bekas jurulatih negara Wan Jamak Wan Hassan yang membandingkan hubungan keempat-empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dengan pasukan negara kini seperti pasangan suami isteri yang sudah bercerai.
“Buat apa Datuk Kim Swee hendak ‘gila talak’. Macam orang berkahwinlah, sudah bercerai. Hendak pujuk, perempuannya tidak hendak, pujuk macam mana pun, sudah tidak hendak, tidak perlu panggillah. Mereka sudah tidak minat bermain untuk negara lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai hasrat jurulatih itu mendapatkan kembali bekas kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal yang mengumumkan persaraan mereka daripada bola sepak antarabangsa Julai lalu.
Terdahulu jurulatih kelahiran Johor Bahru, Johor itu ditemui dalam majlis pelancaran filem dokumentari terbitan Astro, Harimau Malaya 1980 yang memaparkan kisah suka-duka skuad juara Kelayakan Olimpik tahun itu, yang dia merupakan seorang daripada pemain, di Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil di sini hari ini.
Wan Jamak yang pernah melatih skuad negara muncul naib juara Piala AFF 1996, turut melahirkan rasa kecewa dengan persembahan anak buah Kim Swee di Stadium Manahan, Solo yang mudah dibolosi tiga gol hanya dalam tempoh 22 minit pertama.
Seorang lagi anggota skuad Olimpik 1980, Rameli Junit, 61, kecewa kerana mereka yang dipanggil mewakili Malaysia gagal menyambar peluang daripada lawan yang digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hampir dua tahun.
“Ini masalah sikap pemain sendiri. Bagaimana Indonesia boleh bangkit selepas dua tahun tidak bermain sedangkan pasukan kita pula dilihat tidak bekerjasama, permainan hilang punca dan tiada matlamat, seolah-olah hanya bermain sambil lewa dan membiarkan Indonesia bermaharajalela di padang.
“Apabila hilang bola, pemain kita hanya memerhati, tiada kawan yang hendak melindungi kawan. Kita tiada ‘jeneral padang’ yang boleh bersuara mengarahkan rakan-rakan,” katanya.