Turun selaku juara bertahan, jika rekod pertemuan tahun lalu dijadikan ukuran pastinya slot ke separuh akhir mampu dimiliki skuad Harimau Selatan, namun Safiq tidak mahu memandang rendah keupayaan wakil Hong Kong biarpun berjaya menumbangkan lawannya itu dengan agregat 4-2.
“Saya mengharapkan rakan sepasukan dapat bermain dengan sepenuh hati dan mempamerkan aksi terbaik. Walaupun kita pernah menewaskan mereka tahun lalu tetapi itu adalah cerita lama.
“Kali ini saingan adalah berbeza, kemungkinan besar mereka lebih kuat dan merupakan pasukan yang berbeza daripada tahun lalu. Oleh itu saya dan rakan-rakan tidak akan sama sekali memandang rendah keupayaan lawan,” katanya.
Masih segar dengan kejayaan memahat sejarah baharu dalam arena bola sepak negara selepas memenangi kejuaraan hatrik Liga Super, pastinya motivasi pemain JDT kini berada di tahap tertinggi.
Malah Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala AFC 2015 itu, mengakui moral pemain-pemain JDT ketika ini berada ditahap terbaik selepas kejayaan merangkul kejuaraan liga.
“Kejayaan memenangi kejuaraan liga telah meningkatkan lagi moral kami untuk terus memburu kejuaraan. Ketika ini tumpuan sepenuhnya pada saingan pertama suku akhir Piala AFC.
“Moral kami sangat tinggi untuk berdepan kelab dari Hong Kong itu dan saya harap bekalan selesa dapat di bawa pulang ke Larkin,” jelasnya.
Selepas perlawanan di Hong Kon, skuad bimbingan Mario Gomez akan melayan kunjungan South China di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 20 September.
Tambah Safiq lagi, walaupun terpaksa berpisah dengan keluarga pada sambutan Aidiladha, namun ia adalah pengorbanan terbesar untuk dirinya yang mahu membantu JDT meneruskan rentak kemenangan dan menaikkan imej kelab tersebut.
CAPTION: PEMAIN JDT bersedia untuk melupakan seketika kejayaan menjuarai Liga Super bagi memberi fokus kepada suku akhir Piala AFC menentang South China di Hong Kong, malam ini.