Penyerang Argentina itu telah menjaringkan enam gol menentang Juventus, termasuk tiga ka­li ketika bermain untuk bekas ke­labnya Sampdoria.

Setelah meledakkan tiga gol daripada tiga perlawanan awal Serie A, pemain berusia 23 tahun itu mahu meneruskan rekod cemerlangnya dengan menewaskan penjaga gol legenda Juventus, Gianluigi Buffon.

Kini berada lima mata di belakang kelab dari Turin itu, Inter terdesak untuk mendapatkan kemena­ngan apatah lagi selepas kalah 0-2 kepada Hapoel Be’er Sheva dalam Liga Europa semalam.

Icardi menyatakan, dia akan berpuas hati jika dapat me­ngulangi prestasi idolanya, iaitu bekas penyerang Inter dan Barcelona, Ronaldo yang membantu pasukan dari Milan itu menjulang Piala UEFA pada tahun 1998.

“Ronaldo adalah penyerang terbaik sepanjang zaman, namun saya mahu memenangi trofi de­ngan menyarung jersi pasukan ini juga,” katanya.

Sementara itu pertahanan Ju­ventus, Leonardo Bonucci men­jang­kakan pertemuan sengit ba­kal berlaku di San Siro, tetapi se­lepas sekadar seri 0-0 dengan Se­villa dalam saingan Liga Juara-juara kelmarin, tumpuan Juve tidak akan terganggu dalam usaha mereka mengejar gelaran juara liga kali keenam berturut-turut.

“Saya menjangkakan perlawanan yang hangat kerana jangan ki­ta lupakan, ini adalah Italian Der­by. Sebagai sebuah pasukan, mereka (Inter) masih lagi mencari rentak apabila mempunyai pemain-pemain baharu dan jurulatih baharu.

“Mereka pasti mahu menunjukkan yang mereka mampu bersaing dengan Juventus. Sungguhpun begitu, selepas terlibat dalam Liga Juara-juara, mereka akan berdepan dengan pasukan Juventus yang kini semakin laparkan kemenangan serta ingin menjadi pasukan pertama menjadi juara liga sebanyak enam kali berturut-turut di Itali,” katanya.

Kekalahan akan menyebabkan skuad kendalian Frank de Boer ketinggalan lapan mata kepada Juventus selepas empat perlawanan selain menambah tekanan ke atas jurulatih dari Belanda itu terutama selepas kekalahan dalam saingan Liga Europa.

Jurulatih Juventus, Massimili­ano Allegri pula tidak menghadapi sebarang tekanan, namun bakal merombak pasukannya selepas tahap kecergasan Dani Alves diragui setelah tercedera dalam perlawanan menentang Sevilla kelmarin.

Napoli akan menjadi tuan rumah kepada Bologna di San Paolo, manakala Roma akan berkunjung ke Fiorentina dalam perlawanan yang akan berlangsung pada Ahad ini.