Bermain di depan penyokong sendiri di Vicarage Road, Watford mengejutkan skuad bimbingan Jose Mourinho itu dengan satu gol di babak pertama menerusi Etienne Capoue (minit ke-34) dan dua gol di babak kedua menerusi Juan Camilo Zuniga (m-83) dan penalti Troy Deeney pada masa kecederaan.

United walaupun pada satu ketika berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi jaringan Marcus Rashford (m-62) namun tenggelam dalam asakan tuan rumah, sekali gus menghadiahkan kekalahan ketiga berturut-turut buat Mourinho.

Sebelum ini, United tewas 1-2 kepada Manchester City dalam liga domestik sebelum dikejutkan kelab Belanda, Feyenoord 0-1 dalam saingan peringkat kumpulan Liga Europa.

Ini merupakan kali pertama Mourinho ditimpa kekalahan hatrik sejak menjadi pengurus baharu United awal musim ini. Kali terakhir pengendali dari Portugal itu mencatat rekod terburuk seperti itu ialah ketika mengendalikan Porto pada 2002.

Rekod kekalahan ini tidaklah seburuk ketika Louis van Gaal menjadi pengurus yang mana mereka pernah tewas empat kali berturut-turut pada Disember tahun lalu.

Bagi Watford pula, ini merupakan kemenangan pertama mereka ke atas United dalam tempoh 30 tahun. Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu 11 kali dalam tempoh tersebut.

“Kami tidak bermain baik pada 25 hingga 30 minit babak pertama, tetapi itu adalah perkara yang boleh kami kawal dan kami berusaha memperbaikinya.

“Namun, kemudian pengadil dan penjaga garisan membuat kesilapan…yang ini di luar kawalan saya sama sekali.

“Insiden (Anthony) Martial sangat jelas apabila dia beberapa kali dikasari lawan tetapi tiada tindakan diambil,” kata Mourinho kepada BT Sport.