Gelaran naib juara penting buat kedua-dua pasukan untuk melonjak ke Liga Super musim depan.
Pengendali PKNS FC, E. Elavarasan mahu pasukannya mencari mata penuh apabila menerima kunjungan Melaka United di Stadium Shah Alam esok, bagi mengekalkan kedudukan kedua.
Skuad Red Ants kemudian akan bertemu Kuala Lumpur dalam aksi terakhir liga.
“Bertemu Melaka United bukan mudah. Biasanya pasukan juara ini… mereka mahu menang setiap perlawanan.
“Kami hanya dipisahkan dengan satu mata di depan JDT II, jadi tidak boleh tercicir sebarang mata jika mahu menamatkan saingan selaku naib juara liga.
“Apa pun saya berharap pemain dapat memberi aksi terbaik supaya kita dapat layak secara automatik ke Liga Super musim depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya lagi, penyerang dari Palestin, Matias Hadwa tidak dapat diturunkan kerana menjalani pengantungan satu perlawanan akibat dua kad kuning. manakala ketua pasukan, Shahrul Azhar Ture pula belum pasti dapat beraksi akibat kecederaan.
Sementara itu, JDT II turut memburu tiga mata apabila menerima kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang esok.
Mereka kemudian menutup kempen dengan menentang DRB-Hicom pada 21 Oktober.