Messi mengalami kecederaaan pangkal paha ketika pasukannya seri 1-1 dengan Atletico Madrid dalam perlawanan liga di Camp Nou semalam, menyebabkan Pemain Terbaik Dunia lima kali itu terpaksa diketepikan daripada persaingan selama tiga minggu.
Ketiadaan Messi bakal memberi impak besar bukan sahaja kepada Barca malah skuad kebangsaan Argentina yang membuat persediaan untuk kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Peru dan Paraguay bulan depan.
Lebih perit, Barca perlu berdepan tiga halangan sukar minggu depan iaitu menentang Borussia Moenchengladbach dalam Liga Juara-juara pada Rabu sebelum ke Celta Vigo pada Ahad, yang kesemuanya di tempat lawan.
“Kita semua berharap dia akan kembali bersama kami dengan kadar segera. Bila dia ada, kami lebih kuat tetapi dengan kehilangannya, kami masih kuat. Bagaimanapun ini situasi yang tidak diduga berlaku.
“Pasukan kami telah memenangi gelaran. Secara individu ia banyak membantu, namun ini merupakan permainan berpasukan yang mana kami menang secara kolektif,” kata kapten Barca, Andres Iniesta.
Tanpa Messi, Barca masih memiliki dua bintang iaitu Luis Suarez dan Neymar untuk menggalas tanggungjawab di posisi serangan seperti mana yang pernah mereka lakukan dengan meledak 16 gol dalam enam perlawanan tanpa bintang Argentina itu yang direhatkan selama dua bulan kerana cedera msuim lalu.
Sergio Busquets yang demam sewaktu menentang Atletico dikhabarkan telah cergas sepenuhnya dan bakal memulakan aksi di Asturias.
Arda Turan menjadi pilihan untuk menggantikan Messi selepas menunjukkan kebolehannya bermain di sisi lain apabila Neymar tidak diturunkan pada awal musim ini kerana terlibat dalam Sukan Olimpik Rio.