Gol-gol Torino disumbangkan penyerang, Andrea Belotti dan ledakan dua gol oleh pemain tengah yang dipinjam daripada Roma, Iago Falque, sekali gus merekodkan kekalahan pertama pelawat di tangan Torino sejak 1990.
Dalam aksi di Stadium Olimpik Turin, Belotti menanduk masuk gol pembukaan bagi meletakkan Torino di depan seawal minit kelapan disusuli dua gol jaringan Falque pada babak kedua iaitu minit ke-53 dan 65.
Malah, aksi cemerlang penjaga gol Torino, Joe Hart dua kali menafikan percubaan rakan sepasukannya di Manchester City, Edin Dzeko bagi gol penyamaan buat Roma.
Roma dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-55 dan pemain gantian, Totti yang membuat penampilan musim ke-25 tenang menewaskan Hart untuk merekodkan gol kedua peribadinya musim ini.
Totti kini berada di kedudukan kedua dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Serie A, ketinggalan 24 gol di belakang Silvio Piola yang merekodkan 274 gol pada 1954.