Jaringan hatrik oleh Ronaldo di Dortmund, yang kelihatan tidak puas hati apabila digantikan dalam perlawanan liga Sabtu lalu, akan menjadikannya sebagai pemain pertama menjaringkan 100 gol di peringkat Eropah.
Menjelang lawatan ke Dortmund, jurulatih Real, Zinedine Zidane mengeluarkan Ronaldo apabila permainan berbaki 20 minit ketika mereka seri 2-2 dengan Las Palmas Sabtu lalu.
Bintang Portugal itu tidak puas hati dengan keputusan itu, keluar dari padang tanpa mempedulikan Zidane.
Jaringan penyamaan menerusi sepakan bebas Ronaldo ketika Real bangkit untuk menang 2-1 ke atas Sporting Lisbon dalam perlawanan pertama mereka dalam Kumpulan F, malam yang sama Dortmund menang 6-0 di Legia Warsaw, menyaksikan jumlah golnya di peringkat Eropah menokok kepada 97.
Pencabar utamanya dalam pertarungan untuk mengumpul 100 gol adalah bintang Barcelona, Lionel Messi, yang mengumpul 89 gol.
Bagaimanapun Dortmund mahu mengekalkan rekod tidak pernah kalah di tempat sendiri menentang Real, yang hanya menang empat kali daripada 29 perlawanan di tempat lawan menentang kelab Jerman.
Stadium Signal Iduna Park milik Dortmund merekodkan banyak kenangan pahit untuk Madrid, yang kalah dalam tiga lawatan terakhir mereka ke situ.
Kekalahan 2-0 di Dortmund dalam suku akhir 2014 hadir setahun selepas dibelasah 4-1 dalam separuh akhir 2013 apabila Robert Lewandowski menjaringkan kesemua gol Borussia.
Mereka juga kalah 2-1 di peringkat kumpulan di Dortmund pada 2012.
Bintang Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang pada Selasa lalu berkata selepas mereka membelasah Wolfsburg 5-1: “Ketika ini tiada siapa yang mampu menghalang kami. Pasukan yang berkemungkinan mampu melakukannya, mungkin Bayern.”