Pemain kelahiran England itu, yang pernah beraksi selaku penyerang Eastbourne Borough yang bersaing dalam divisyen kelima liga Inggeris, berkata kini dia mahu memanfaatkan peluang yang diberikan oleh jurulatih Datuk Ong Kim Swee.
Darren adalah antara 25 nama yang dipanggil untuk menyertai persiapan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa iaitu menentang Singapura pada 7 Oktober dan Afganisthan pada 11 Oktober.
“Saya agak baru di sini (Malaysia) dan corak permainan di sini juga amat berbeza dengan bola sepak di England malah tekanan sentiasa ada tetapi saya harus hadapi dengan baik dan menikmati bola sepak.
“Matlamat saya adalah untuk bersama skuad kebangsaan menghadapi Piala AFF tetapi buat masa ini saya hanya boleh fokus apa yang akan berlaku di dalam tempoh dua minggu bermula dari sekarang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma FAM, di sini hari ini.
Sementara itu, Darren mengakui dia tidak berasa kekok menyertai kem latihan Harimau Malaysia kerana rakan sepasukannya dalam pasukan JDT II, Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak dan Irfan Fazail turut mendapat panggilan.
“Keadaan sentiasa menjadi mudah apabila anda datang dengan seseorang yang sudah dikenali seperti rakan sepasukan saya dari JDT II dan ini memudahkan saya lagi,” katanya.