‘Big Sam’ meletakkan jawatan selepas dia ‘ditangkap’ oleh wartawan Daily Telegraph yang menyamar sebagai ahli perniagaan dari Asia Timur.
Allardyce terperangkap apabila dirakam secara rahsia oleh wartawan tersebut ketika dia memberi panduan bagaimana untuk mengelakkan peraturan perpindahan, mengkritik keputusan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) untuk membina semula Stadium Wembley dan mengolok-olokkan pengurus sebelum beliau, Roy Hodgson.
Pengurus berusia 61 tahun itu, yang dilantik selaku pengurus England Julai lalu dengan kontrak bernilai 3 juta pound (RM16.14 juta) setahun, juga bersetuju untuk ke Singapura dan Hong Kong sebagai duta kepada firma palsu yang dikatakan oleh wartawan berkenaan dengan bayaran 400,000 pound (RM2.147 juta).
Allardyce dan FA bersetuju bahawa jawatannya tidak dapat dipertahankan lagi, dan dia tidak mempunyai pilihan selain meletakkan jawatan yang diimpikannya selama lebih sedekad itu.
Tempatnya akan dipangku oleh jurulatih Bawah 21 tahun England, Gareth Southgate yang akan membimbing skuad senior untuk empat perlawanan berikutnya bermula dengan kelayakan Piala Dunia menentang Malta pada 8 Oktober.
“FA boleh mengesahkan bahawa Sam Allardyce sudah meninggalkan jawatan pengurus England.
“Tindakannya seperti yang dilaporkan adalah tidak wajar selaku pengurus England. Dia mengakui telah melakukan kesilapan besar dan sudah memohon maaf.
“Ekoran kesalahan serius yang dilakukannya itu, FA dan Allardyce bersetuju untuk menamatkan kontraknya serta merta,” kata FA dalam satu kenyataan.
Allardyce turut mengeluarkan kenyataan menerusi laman web FA yang menyaksikan dia begitu terdesak untuk mengekalkan jawatan itu.
“Satu penghormatan kepada saya apabila dilantik pada Julai lalu dan saya sangat kecewa dengan perkara ini.
“Saya ada bertemu dengan Greg Clarke dan Martin Glenn untuk memohon maaf atas tindakan saya. Meskipun saya sedar bahawa setiap perkara yang dirakam itu perlu mendapat kebenaran FA, jelas sekali saya mengeluarkan komen yang memalukan.
“Saya juga kesal dengan komen saya melibatkan orang lain,” katanya.