Gol sendiri Aleksandar Kolarov dan jaringan Dele Alli membolehkan Spurs mencatat kemenangan ketiga berturut-turut ke atas City dalam saingan liga.
Kemenangan bukan sahaja membolehkan Tottenham melonjak ke tangga kedua, satu mata di belakang City, malah menjadikan mereka satu-satunya pasukan yang belum pernah tewas dalam saingan liga musim ini.
“Ia adalah kemenangan hebat buat kami kerana menentang lawan yang kuat. Saya amat gembira.
“Perlawanan ini menyusul selepas aksi antarabangsa dan kami berdepan saingan sukar selepas liga berehat seketika,” kata pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino.
Bagi Pochettino, ini kemenangan peribadi keduanya ke atas Guardiola daripada 10 pertemuan mereka.
Pochettino pernah membantu bekas pasukannya, Espanyol mengalahkan bekas pasukan Guardiola, Barcelona ketika dalam Liga Sepanyol pada 2009.
“Mereka pasukan yang lebih baik. Kami tidak berada di posisi yang bagus, jadi tahniah buat mereka,” kata Guardiola pula.
City sebelum ini memenangi semua enam perlawanan pertama liga, malah menang semua saingan Liga Juara-Juara.
Sementara itu, musuh sebandar City, Manchester United turut berdepan nasib malang apabila diikat 1-1 oleh Stoke City di tempat sendiri.
Keciciran dua mata di Old Trafford menyebabkan Red Devils gagal menghambat pendahulu dan terpaksa menghuni tangga keenam liga dengan 13 mata.
United, yang hanya menang sekali daripada empat perlawanan terakhir liga mendahului menerusi sepakan lencong Anthony Martial pada minit ke-69, dua minit selepas dia dibawa masuk sebagai pemain gantian, namun Joe Allen menyamakan kedudukan lapan minit sebelum tamat permainan.