Stoke tiba di Manchester sebagai pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris, namun United gagal memanfaatkan prestasi hambar yang ditunjukkan The Potters apabila sekadar berkongsi satu mata di depan penyokong sendiri.

Pemain gantian, Anthony Martial menghadiahkan gol pembukaan tuan rumah hanya dua minit selepas dibawa masuk pada babak kedua, namun jaringan Joe Allen menerusi jarak dekat, lapan minit sebelum tamat permainan membantu Stoke mengikat Red Devils.

Pemain termahal dunia, Paul Pogba memiliki tiga peluang untuk menembusi gawang Stoke, namun semuanya tidak berhasil, manakala Zlatan Ibrahimovic melakukan beberapa percubaan yang berjaya dipatahkan penjaga gol lawan, Lee Grant.

“Saya gembira dengan persembahan pasukan tetapi apabila perlawanan sepatutnya boleh berkesudahan 5-0 atau 6-0 dan ia berakhir dengan 1-1, kegembiraan itu tiba-tiba hilang.

“Saya boleh kata, daripada segi corak permainan, ini antara persembahan terbaik kami. Kami mencipta banyak peluang dan lebih konsisten, kami sepatutnya boleh mendapat tiga mata, tetapi keputusan tidak berakhir seperti diharapkan.

“Dari minit pertama, semua nampak cantik. Kami beroleh peluang awal, Paul gagal me­nyempurnakannya. Pada babak kedua, dia sekali lagi melakukan rembatan cantik, malangnya ter­kena palang….kemudian penjaga gol lawan juga cemerlang menyelamatkan banyak percubaan.

“Saya sangat kecewa, bukan kerana persembahan pasukan tetapi dengan keputusan perlawanan,” kata Mourinho, yang tampak lebih berdiplomasi dalam memberi kenyataan kali ini berbanding ketika pasukannya gagal mencatat keputusan baik dalam perlawanan-perlawanan terdahulu.