Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berkata, semua pemain tersebut akan ditinggalkan di Wisma FAM bagi menjalani proses pemulihan akibat kecederaan.
Bagaimanapun katanya, mereka masih berpeluang beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang Afghanistan di Shah Alam, Selasa depan sekiranya sempat pulih.
“Saya akan bawa 26 pemain (ke Singapura). Lima pemain yang ditinggalkan ialah Matthew, Ronny, Nasir, Khairul Fahmi dan Ahmad Khuzaimi.
“Ronny cedera belakang badan, Nasir pula di pangkal paha dan Matthew mengalami masalah kesihatan.
“Mereka tidak digugurkan cuma perlu menjalani program pemulihan di Kuala Lumpur dan akan bersama pasukan selepas kami kembali dari Singapura,” katanya di Wisma FAM hari ini.
Menyentuh mengenai kesebelasan utama yang bakal diturunkan Jumaat ini, Kim Swee memberitahu, beliau belum mempunyai bayangan dan sedang mencari kombinasi terbaik.
“Terus-terang saya cakap, hanya semalam saya baru melakukan latihan bersama semua pemain. Saya cuba beberapa kombinasi dan hari ini saya akan cuba lagi begitu juga esok, kita berlatih di Singapura,” katanya.
Mengenai pemain yang akan mengisi posisi bek tengah, Kim Swee berkata dia mempunyai empat pilihan untuk dipertaruhkan selepas pemain berpengalaman Ronny dan Shahrom Kalam tidak dapat diturunkan.
“Saya ada Khairul Helmi (Johari), Shahrul Saad, Abdul Latiff (Suhaimi) dan Fadhli Shas. Ini bermakna saya ada empat pemain untuk posisi tersebut dan akan menilai mereka hari ini serta esok.
“Saya tidak merancang untuk membuat gandingan baharu kerana saya perlu lihat dari segi pengalaman juga,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta penjelasan daripada Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim yang tidak mahu meneruskan perlawanan persahabatan sewaktu pasukan bawah 14 tahun NFDP mengadakan jelajah di Korea Selatan.
Kejadian itu berlaku pada 29 September lalu apabila skuad NFDP B-14 bertemu Pohang FC Steelers.
Pasukan dari Korea Selatan itu mendahului 4-0 pada babak pertama namun Teong Kim enggan membenarkan pemainnya meneruskan aksi babak kedua selepas mendakwa lawan menurunkan pemain lebih umur.