Ronaldo, 31, yang dinobat sebagai Pemain Terbaik Dunia 2014, 2013 dan 2008 dijangka mengetuai senarai tiga calon akhir bagi anugerah 2016 ekoran kejayaan membantu Portugal muncul juara Eropah, selain membawa Real Madrid menjuarai Liga Juara-Juara.
Bulan lalu, Xavi mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila mendakwa ‘sesiapa pun yang meminati bola sepak’ akan mengakui, penyerang Argentina, Lionel Messi adalah pemain yang lebih baik berbanding Ronaldo.
Semalam, bekas bintang Sepanyol berusia 36 tahun itu kekal dengan pendiriannya bahawa Messi adalah pemain yang lebih baik dan Ronaldo akan menang hanya kerana memiliki lebih banyak kejuaraan.
“Cristiano memenangi banyak trofi tahun ini, jadi itu kriteria utama untuk merangkul Ballon d’Or. Garis panduan yang ditetapkan adalah menang Liga Juara-Juara dan Euro.
“Bagaimanapun saya fikir, persaingan akan tetap kompetitif kerana Messi ada di situ,” kata Xavi dalam majlis Aspire4Sports di Amsterdam.
Messi, 29, pemilik anugerah Pemain Terbaik Dunia lima kali – 2015, 2012, 2011, 2010 dan 2009 membantu Barcelona merangkul kejuaraan La Liga musim lalu, namun dia gagal membawa Argentina menjuarai Copa America tahun ini selepas tewas kepada Chile menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir.