Arsene Wenger menjalankan perbincangan bersama kedua-dua pemain itu sejak 12 bulan lalu berhubung kontrak mereka, namun atas beberapa faktor perbincangan itu masih diteruskan hingga ke hari ini.

Ozil, 27, sebelum ini mahu memberikan fokus kepada saingan Euro 2016 sebelum berbincang mengenai kontrak baharu dan ketika ini pemain itu masih memiliki baki kontrak dua tahun bersama pasukan utara London itu.

Kontrak Sanchez bagaimanapun akan tamat pada 2019 tetapi Gunners berminat untuk mengemukakan tawaran baharu kepada pemain berusia 27 tahun itu.

Menurut laporan akhbar The Times, Gunners memberi tawaran gaji sekitar 180,000 pound (RM950,603) seminggu dalam sesi perbincangan tahun lalu.

Tawaran itu menunjukkan peningkatan ketara di dalam tawaran kontrak baharu mereka tetapi kedua-dua pemain itu menuntut kenaikan sekitar 70,000 pound (RM369,679) lagi daripada tawaran asal untuk membolehkan mereka kekal bersama Arsenal.