Kedah akan berusaha mempertahankan kelebihan mereka apabila bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Melaka manakala Selangor bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk menghadapi Terengganu FC II (TFC II).

Keputusan separuh akhir pertama menyaksikan Kedah memiliki satu bekalan gol selepas menundukkan lawan mereka 2-1 di laman sendiri dan keputusan yang sama turut dicatatkan oleh Selangor.

Bagaimanapun, pengendali skuad Lang Merah, Tan Cheng Hoe enggan berasa terlalu yakin sebaliknya menegaskan setiap pasukan masih mempunyai 90 minit sebelum mengesahkan tiket ke pentas akhir namun pada masa sama dia tidak berselindung mengenai harapannya agar final tahun lalu berulang kali ini.

“Kami tahu kami sudah menang 2-1 dalam perlawanan pertama namun masih ada 90 minit seterusnya. Mendahului 2-1 belum tentu layak kerana PDRM memiliki satu gol berharga di tempat lawan. dalam pertemuan kedua ini kami menganggap keputusan adalah 0-0 tanpa memikirkan bekalan gol yang dibawa.

“Saya harap kami dapat mengurangkan kesalahan kecil dan berharap dapat mengulangi final tahun lalu. Saya yakin. Saya harap pemain mengekalkan momentum mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Kedah akan bermain tanpa khidmat Khairul Helmi Johari yang mengalami kecederaan posterior cruciate ligament (PCL), Ariff Farhan Mohd. Isa (anterior cruciate ligament) dan Syazwan Zainon terseliuh bahu.

Ini bermakna Cheng Hoe dijangka menurunkan Osman Mohd. Yusoff menggantikan Khairul Helmi dan Azmeer Yusof (Ariff Farhan) selain Farhan Roslan atau Syafiq Ahmad untuk memainkan peranan di posisi Syazwan.

Sementara itu jurulatih Selangor, K. Gunalan yang tidak dapat menggunakan Nazmi Faiz Mansor dan Mauro Olivi akibat kecederaan mahu anak-anak buahnya berwaspada kepada ancaman pasukan tuan rumah lebih-lebih lagi pemain import.

“Perlawanan ini cukup penting. Bukan mudah untuk beraksi di gelanggang lawan. Dalam perlawanan nanti kami perlu menumpukan perhatian kepada pemain import TFC II seperti Makan Konate, Patrick Cruz dan Dilshod Sharofetdinov yang tidak bermain dalam perlawanan pertama,” katanya.