Bravo dibuang padang sewaktu City ketinggalan 0-1 gara-gara menyelamatkan percubaan Luis Suarez dari luar kawasan gol selepas membuat kesilapan me­lakukan hantaran kepada penyerang Uruguay tersebut.

Insiden berkenaan telah menyebabkan keputusan Guardiola menyingkirkan penjaga gol No. 1 England, Joe Hart kini dipertikaikan.

“Sehingga hari terakhir saya sebagai jurulatih, saya akan tetap cuba memulakan permainan dari­pada penjaga gol. Sudah tentu anda tidak dapat bermain pada setiap masa, tetapi ini merupakan satu kesilapan dan kadang kala berlaku,” kata Guardiola.

 

Bravo menikmati kehidupan di Barca dengan hampir tidak me­lakukan sebarang kesilapan sebelum menyertai City pada Ogos lalu, tetapi dia terpaksa berdepan permulaan yang agak kurang menyakinkan di bawah kendalian Guardiola yang mahu serangan City dilancarkan bermula dari bawah.

“Dia (Bravo) memiliki pengalaman yang luas, dan merupakan salah seorang penjaga gol terbaik di dunia sejak 10 tahun lalu. Tetapi dia akan belajar, malah dia merupakan pemain pertama yang memohon maaf ketika berada di bilik persalinan,” ujar pengurus City itu.

Kesilapan yang dilakukan Bravo merupakan satu-satunya kesalahan besar yang dibuat pertahanan City dalam perlawanan itu, yang menyaksikan Messi memanfaatkan peluang Fernan­dinho yang tergelincir untuk gol awal Barca.

Messi menyumbat gol kedua sebelum Ilkay Gundogan melakukan kesilapan menyempurnakan hantaran kepada Suarez, yang membuka laluan buat Messi melengkapkan hatriknya.

City mungkin mendapat keputusan lebih memalukan sekiranya penjaga gol gantian Willy Caballero gagal menyelamatkan sepakan penalti Neymar sebelum pemain Brazil itu menebus kesilapannya dengan meledakkan gol keempat tuan rumah.

“Selalunya memang sukar menentang Barcelona yang beraksi dengan 11 pemain, sementara kami pula hanya memiliki 10 pemain. Kami berjaya mencipta peluang dan beberapa kali kami menembusi benteng mereka, tetapi apabila membenarkan penye­rang mereka tiba ke kawasan kami, maka anda pasti akan dihukum,” tambah Guardiola.