Keempat-empat pasukan itu hanya dipisahkan oleh sama ada jumlah mata dan perbezaan gol dan masing-masing memerlukan kemenangan daripada perlawanan hidup mati itu untuk menyelamatkan dua daripada mereka daripada terjerumus ke Liga Perdana musim depan.

Sarawak dan PDRM, yang masing-masing mengumpul 21 mata dan menduduki tempat keempat dan ketiga tercorot liga, akan bertemu di Kuching manakala Terengganu dan Pulau Pinang, yang sama-sama berkongsi 19 mata, akan bersaing di Stadium Bandaraya.

Pengendali The Cops, Fauzi Pilus berkata walaupun kehilangan tiga pemain utama ekoran penggantungan dan masalah kecederaan, anak didiknya akan berjuang habis-habisan di Stadium Negeri untuk memastikan mereka kekal dalam divisyen elit tahun depan.

Menurut Fauzi, akibat ketiadaan ketua pasukan Safuwan Baharudin, pemain tengah Latiff Suhaimi dan pertahanan Faizal Muhamad, dia perlu membuat sedikit perubahan ke atas kesebelasan utama untuk memastikan misi meraih tiga mata penuh dipenuhi.

“Safuwan dan Latiff digantung satu perlawanan, Faizal pula dibelenggu kecederaan. Jadi kami akan membuat sedikit perubahan untuk menghasilkan pasukan yang seimbang.

“Tidak boleh seri atau kalah kerana tiga mata amat penting untuk kami kekal dalam Liga Super.

“Kami perlu meneruskan perjuangan, insya-Allah kalau kami mengekalkan permainan seperti dalam perlawanan sebelum ini, keputusan yang baik mampu diperoleh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, pengendali Terengganu, Mustaffa Kamal Abdul Wahab mengakui sedikit terkilan dengan kelewatan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi kemenangan percuma kepada Pahang yang sekali gus menjejaskan peluang pasukannya untuk kekal dalam Liga Super.

“Bagi saya FAM tidak berlaku adil kepada empat pasukan lain termasuk kami sendiri. Kenapa mengambil masa hampir tiga bulan untuk mengambil tindakan sedangkan bantahan itu dibuat lebih awal,” katanya.

Namun beliau enggan terlalu memikirkan keputusan itu sebaliknya berharap anak didiknya berjuang habis-habisan ketika menentang Pulau Pinang esok kerana ini melibatkan maruah pasukan.