Menurut tonggak pertahanan Lang Merah itu, dia akan berjuang habis-habisan bagi memastikan gawang Kedah tidak dibolosi demi merealisasikan impian negeri itu mendakap Piala Malaysia buat kali kelima.

Kali terakhir Kedah muncul juara Piala Malaysia adalah pada 2008. Skuad Hijau Kuning sebelum itu pernah menjuarai piala berprestij tersebut pada 2007, 1993 dan 1990.

“Kecederaan lutut kiri yang saya alami ketika menjalani latihan bersama pasukan negara kini sudah pulih. Saya bersedia diturunkan dalam perlawanan akhir.

“Saya dan rakan-rakan sepasukan akan berusaha memberi aksi terbaik untuk menebus kekecewaan kepada Selangor musim lalu. Kami tidak rela dikecewakan lagi,” katanya di sini, hari ini.

Khairul Helmi yang dipanggil menyertai pasukan kebangsaan baru-baru ini bagaimanapun menyedari keputusan sama ada diturunkan dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam nanti terletak sepenuhnya di tangan pengendali, Tan Cheng Hoe.

“Apa pun kita serah kepada jurulatih untuk tentukan siapa yang akan diturunkan nanti.

“Pada saya, sesiapa pun akan berusaha memberi aksi terbaik bagi menggalas tanggungjawab yang diberikan jurulatih dan pihak pengurusan (Persatuan Bola Sepak Kedah) termasuk penyokong Lang Merah.

“Menjelang perlawanan akhir ini, kami semua memberikan fokus dan komitmen 100 peratus untuk memastikan Piala Malaysia dapat dibawa balik ke negeri ini,” ujarnya.

Tambahnya, dia yakin Kedah mampu membawa pulang Piala Malaysia kerana kebanyakan pemain sudah semakin matang di samping menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

“Harapan kami adalah agar semua penyokong dapat beri sokongan padu pada perlawanan nanti dan mendoakan kejayaan buat pasukan Kedah,” katanya.