Pemain, Piala Malaysia berarak ke Stadium Darul Aman, esok

By
Updated: October 31, 2016

ALOR SETAR 31 Okt. – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan mengadakan majlis sambutan meraikan kepulangan pasukan Lang Merah yang berjaya menjulang Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, di sini esok.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar berkata, sambutan itu bagi memberi peluang kepada penyokong setia Lang Merah untuk melihat sendiri trofi Piala Malaysia dan bertemu dengan pemain dan jurulatih kesayangan mereka.

“Acara sambutan akan bermula di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim yang mana pasukan Kedah dijangka tiba pada pukul 3.30 petang.

“Dari situ, mereka akan berarak dengan bas dua tingkat untuk bertemu penyokong setia Lang Merah. Kita adakan majlis ini untuk peminat melihat piala yang kali terakhir dibawa pulang pada 2008.

“Program itu diadakan sebagai tanda terima kasih kepada penyokong Kedah yang setia di belakang mereka sehingga menjadi juara Piala Malaysia pada musim ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.