Namun, pengendali kelahiran Jerman itu tidak menafikan, kerapuhan benteng memerlukan perhatian serius bagi memastikan Reds mampu kekal sebagai pencabar serius kejuaraan.
Walaupun Liverpool mencatat jumlah gol yang meyakinkan di Selhurst Park, namun pasukan pelawat tampak goyah apabila diserang oleh tuan rumah, malah kesilapan bek tengah, Dejan Lovren membuka laluan kepada gol pertama Palace dan kedua.
Reds memulakan aksi dengan meyakinkan selepas Emre Can membuka jaringan menerusi rembatan kaki kiri pada minit ke-16, namun Palace tidak menunggu lama untuk bangkit apabila kegagalan Lovren mengawal James McArthur membolehkan pemain itu menyamakan kedudukan, dua minit kemudian.
Lovren menebus kesilapan dengan meletakkan Liverpool pada minit ke-21, namun dia sekali lagi hilang fokus apabila gagal mengawal McArthur yang meledak gol kedua tuan rumah menerusi tandukan mudah di minit ke-33.
Jika tidak disebabkan benteng rapuh, perlawanan boleh dianggap hampir sempurna buat Liverpool yang menguasai permainan dan jentera serangan mereka tidak mengecewakan.
Joel Matip menjaringkan gol pertamanya sejak menyertai Liverpool musim ini pada minit ke-44, sebelum Roberto Firmino melengkapkan gol keempat dengan menguis bola menewaskan Steve Mandanda di minit ke-71.
“Kami akan selesaikan masalah di bahagian pertahanan.
“Secara keseluruhan, mereka bertahan baik hari ini tetapi ia (kesilapan) adalah perkara biasa. Saya tahu, semua orang pasti akan bercakap mengenainya,” kata Klopp.
Kata Klopp, dia tidak akan mengkritik pemain secara individu, sebaliknya menegaskan, Liverpool akan menanggung kesilapan sebagai sebuah pasukan.
“Saya tidak masuk ke bilik persalinan dan berkata, ‘kamu seorang pertahanan yang teruk atau kamu bukan penjaga gol yang bagus’.
“Mereka semua manusia dan kami akan selesaikan kelemahan secara bersama. Saya yakin dengan kualiti yang dimiliki pasukan,” ujarnya lagi.