Kejayaan diukir oleh Mohd. Azamuddin yang berasal dari Kampung Relong, dekat sini di peringkat kebangsaan memberi rangsangan kepada bakat baharu di daerah ini untuk membuktikan kebolehan masing-masing dalam kejohanan itu.

Pengurus pasukan LBR Lipis, Amir Marwan Mohd. Kasim yakin pemainnya mampu mempamerkan aksi terbaik sepanjang kejohanan tersebut.

“Dalam perlawanan sebelum ini, setiap pemain menunjukkan komitmen dan prestasi yang cukup memberangsangkan. Kita berharap pemain mampu me­ngukir sejarah untuk daerah ini yang menyertai buat kali kedua pertandingan LBR,” katanya selepas majlis meraikan pemain dan penyampaian sumbangan peralatan sukan oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad, di sini baru-baru ini.

Pertandingan LBR melibatkan penyertaan 107 pasukan dari seluruh negara bermula 24 September lepas.

Skuad LBR Lipis dibarisi pemain remaja dan belia tempatan yang pernah mewakili sekolah dan daerah dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) serta Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dengan mendapat sentuhan jurulatih, Syaril Faizal yang merupakan bekas pemain Pahang dan Kebangsaan.

Pasukan berkenaan akan berdepan dengan pasukan LBR Sepang pada 5 November ini manakala pada perlawanan terdahulu, LBR Lipis membuktikan keupayaanya apabila menjinakkan pasukan LBR Batu dengan jaringan 2-1, LBR Bera (1-0) dan seri dengan LBR Bandar Tun Razak 1-1.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, LBR merupakan era baharu sukan bola sepak negara ini khususnya mencungkil bakat pemain amatur di luar bandar untuk mewakili kelab, negeri seterus­nya ke peringkat kebangsaan.

“Dengan adanya kejohanan ini, pemain dipanggil dan diuji seterusnya berpeluang mewakili LBR Lipis. Saya berharap LBR Lipis dapat menonjolkan seorang lagi Mohd. Azamuddin,” kata­nya.