Bagaimanapun kedudukan pasukan dalam Liga Super hingga kini masih belum dimuktamadkan walaupun secara teknikalnya Terengganu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan turun ke Liga Perdana.
Namun perkara itu tergantung selepas PDRM menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dakwaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menurunkan pemain importnya Juan Martin Lucero yang digantung satu perlawanan pada pertemuan 16 Ogos lalu.
Situasi sama berlaku yang menyaksikan jawatankuasa tatatertib badan induk bola sepak negara itu memberi Pahang kemenangan percuma 3-0 dalam perlawanan pada 3 Ogos lalu selepas Kedah didapati menurunkan pemain yang tidak layak Mohd. Rizal Ghazali sekali gus menyelamatkan pasukan itu daripada tersingkir ke Liga Perdana.
Sementara itu, pasukan gergasi negara terus mendominasi perebutan piala yang dipertandingkan apabila Piala FA dan Sumbangsih menjadi milik JDT manakala Piala Malaysia dimenangi Kedah.
Pasukan Harimau Selatan itu turut mencipta sejarah baharu apabila memenangi Liga Super untuk kali ketiga berturut-turut namun mereka gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFC.
Selain itu, dalam saingan Liga Perdana, DRB-Hicom menarik diri daripada pertandingan musim depan walaupun menamatkan persaingan di kedudukan ketujuh.
Persaingan dalam Liga FAM juga tidak kurang hebatnya yang menyaksikan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) muncul juara Piala FAM dan akan diiringi oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC ke Liga Perdana musim depan.
Ini adalah tahun pertama Liga M diuruskan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan bekas pemain kebangsaan Datuk Hassan Sani melihat cara pengurusan mereka musim ini lebih kepada melakukan eksperimen.
Oleh itu beliau berharap beberapa kelemahan yang berlaku musim ini dapat diperbaiki dan ditambah baik oleh FMLLP, FAM dan pengurusan pasukan yang bertanding pada musim 2017.
“Keseluruhannya Liga Malaysia musim ini, yang pertama kali diuruskan oleh FMLLP dilihat lebih kepada eksperimen.
“Tapi apa sekali pun pada akhirnya berjaya dilaksanakan dengan baik kerana tiada insiden yang buruk berlaku. Satu kejayaan buat mereka tetapi masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dan perbetulkan untuk musim depan.
“Selain itu saya lihat banyak pasukan yang dilanda masalah dalaman berpunca daripada pengurusan kelab yang gagal menguruskan kewangan dengan baik sehingga berlaku tunggakan pembayaran gaji pemain dan jurulatih. Ini tidak seharusnya berlaku dalam liga profesional ini.
“Saya juga mengharapkan pihak yang bertanggungjawab menguruskan bola sepak negara perlu lebih tegas dalam menjatuhkan hukuman agar masalah sama tidak lagi berulang pada musim depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.