Selepas pendahulu liga sebelum ini Manchester City juga mencatat keputusan seri 1-1 dengan Middlesbrough semalam, Arsenal hanya perlu mencatat kemenangan untuk memintas namun gol pendahuluan mereka dinafikan oleh keputusan pengadil yang memberi sepakan penalti kepada Tottenham.
Arsenal sebelum itu terlebih dulu di depan menerusi jaringan sendiri pemain Tottenham, Kevin Wimmer yang menanduk masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-42 untuk membolehkan anak buah Arsene Wenger memasuki bilik persalinan dengan memiliki sedikit kelebihan.
Namun memasuki babak kedua, Arsenal dihampakan dengan keputusan pengadil yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Tottenham selepas pemain pertahanan mereka Laurent Koscielny mengkasari Mousa Dembela dalam kotak penalti.
Harry Kane yang mengambil sepakan penalti itu tidak berdepan masalah menyempurnakannya dengan baik pada penampilan pertamanya selepas baharu pulih daripada kecederaan ligamen selama tujuh minggu sebelum ini.
Jaringan Kane itu bukan sahaja menyekat Arsenal daripada muncul pendahulu liga malah turut mengekalkan Tottenham sebagai satu-satunya pasukan yang belum kalah musim ini. Mereka juga boleh digelar pakar seri kerana ini merupakan keputusan seri keenam setakat ini.
Dengan keputusan itu, Chelsea yang menewaskan Everton 5-0 semalam kekal buat sementara waktu di persada liga dengan 25 mata diikuti City dan Arsenal dengan 24 mata.