Pengendalinya, Flemming Serritslev berkata, PNG yang kini menghuni ranking ke-159 dunia bagaimanapun menghormati Malaysia dan menjangkakan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee bersedia memberikan tentangan sengit.

Meletakkan harapan tinggi kepada penyerang lincahnya, Tommy Semmy yang merobek gawang Harimau Malaysia 2-0 ketika Jelajah Ocenia pada Jun lalu, Serritslev bertekad akan mengulangi skrip lama biarpun sekadar menyenaraikan 19 pemain.

“Kami sudah bersedia dan menganggap pertemuan esok seperti aksi timbal balik selepas memenanginya pada perlawanan yang berlangsung di Port Moresby. Saya jangkakan pertarungan sengit akan berlaku.

“Sudah pasti Malaysia akan beri tentangan hebat dalam ­usaha melunaskan misi membalas dendam daripada kekalahan lepas. Bagaimanapun kami tidak berdepan tekanan seperti perlawanan di Port Moresby, dengan kali ini saya membawa 19 berbanding 23 pemain sebelum ini.

“Bagi saya, tiada sebarang pertukaran kali ini, tetapi saya jangkakan perlawanan sengit kerana pertemuan pertama kedua-dua pasukan agak seimbang.

“Cuma ketika itu kami lebih tajam di depan gol,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat koordinasi aksi persahabatan menentang PNG, di Wisma FAM di sini, hari ini.

Malaysia yang kini di ranking ke-164 dunia pernah membelasah PNG 10-1 pada aksi persahabatan tahun 1976 dan 5-1 pada 1984, namun tewas dalam pertemuan kali ketiga.

Selain Tommy yang bakal menjadi sandaran utama, Serritslev turut menagih keupayaan dua penyerang muda Stahl Gubag dan Kolu Kepo, yang dilihat mampu menjadi duri dalam daging pada perlawanan itu nanti.

“Kami mempunyai kelebihan fizikal. Jadi esok saya akan membawa masuk dua pemain muda bagi menguji kemampuan mereka di pentas yang lebih tinggi.

“Stahl (Gubag) dan Kolu (Kepo) masing-masing berusia 17 dan 23 tahun. Saya yakin mereka berdua mempunyai kemahiran menarik untuk ditonjolkan selaku penyerang,” katanya.

Sepak mula perlawanan menentang Papua New Guinea ini ditetapkan pada jam 3 petang bagi membolehkan skuad Harimau Malaysia menyesuaikan diri dengan kea­daan cuaca panas memandang­kan dua perlawanan awal Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 bertemu Kemboja (20 November) dan Vietnam (23 November) di Yangon pada waktu tersebut.