Kapten Harimau Malaysia itu, yang meledak dua gol untuk membantu pasukan negara menang 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF berkata, dia lega kerana perlawanan berakhir dengan kemenangan milik skuad negara biarpun ia sebenarnya boleh menjadi sebaliknya.
“Syukur kerana kami berjaya mencatat kemenangan hari ini, namun saya fikir kami perlu memperbaiki permainan dan tidak mengulangi kesilapan seperti itu lagi pada aksi seterusnya.
“Kekeliruan pengadil dan penjaga garisan menyebabkan kami berhenti bermain seketika kerana penjaga garisan sudah mengangkat bendera.
“Kami cuba untuk membantah jaringan tersebut namun pengadil perlawanan memberitahu kedudukan pemain Kemboja tidak ofsaid kerana bola terkena pemain sendiri (Shahrul Saad).
“Kita tidak boleh melakukan kesilapan seperti itu lagi dan apabila kami memperoleh gol kami juga dibolosi,” katanya kepada pemberita di sini selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Amri turut mendedikasi kemenangan tersebut kepada semua peminat bola sepak tempatan.
“Kejayaan ini merupakan hasil doa keluarga, rakan-rakan dan pasukan yang banyak membantu serta semua peminat bola sepak Malaysia. Saya harap kita dapat melangkah ke peringkat separuh akhir,” katanya lagi.
Kata Amri, Chan Vathanka bijak mengambil peluang dalam situasi yang menggelirukan ketika meletakkan pasukannya di depan seawal minit ketujuh permainan.
Malaysia dijadual menentang pasukan pilihan dan juara 2008, Vietnam dalam aksi kedua, Rabu ini sebelum bertemu tuan rumah, Myanmar pada Sabtu.
Kata Amri lagi, walaupun tidak memulakan permainan dengan aksi yang diharapkan, namun kejayaan mengutip tiga mata penuh cukup melegakan kerana menganggap dua perlawanan berikutnya jauh lebih sukar.