Penyerang Kemboja, Chan Vathanaka menjaringkan gol kontroversi seawal minit ketujuh permainan dan jaringan tersebut dianggap pelik kerana penjaga garisan mengangkat bendera sebagai tanda ofsaid namun pengadil perlawanan mengarahkan perlawanan diteruskan.
Malah, Khairul lebih dikenali Apek turut mengakui dia keliru dengan situasi tersebut dan mahu menjadikan insiden itu sebagai pengajaran berguna agar lebih kekal fokus dan bermain mengikut wisel.
“Saya fikir bukan saya seorang sahaja yang keliru sebab semua pemain pun keliru. Kami dapat tahu gol tersebut tidak ofsaid selepas melihat rakaman video beberapa kali.
“Pada waktu itu (ketika beraksi) kami dalam padang dan tidak tahu apa yang sedang berlaku. Penjaga garisan mengangkat bendera tapi pengadil mengarahkan perlawanan diteruskan.
“Bagi saya benda ini biasa terjadi ketika permainan dalam keadaan mengelirukan. Bagaimanapun kita dapat jaring gol penyamaan sebelum tamat babak pertama.
“Bagi saya itu bukan kesilapan cuma keliru. Bukan bermakna saya atau pertahanan sengaja melepaskannya. Kami sudah hilang fokus dan tidak ikut wisel untuk main jadi ini menjadi pengajaran kepada kami semua supaya lebih fokus,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Malaysia menumpaskan Kemboja 3-2. Kedua-dua gol Kemboja dijaringkan Vathanaka, manakala Mohd. Syazwan Zainon menjaringkan satu gol sebelum Mohd. Amri Yahyah meledak dua jaringan.
Mengulas mengenai pertemuan menentang Vietnam Rabu ini, Apek berkata Harimau Malaysia perlu memperbaiki corak permainan, terutama ketika melakukan serangan serta mengawasi beberapa pemain lawan yang mampu menjadi ancaman.
“Perlawanan seterusnya kita kena baiki macam mana nak kawal permainan terutama ketika melakukan serangan terhadap pasukan lawan.
“Kami perlu kurangkan kesilapan. Kami sudah beraksi pada waktu petang (semalam) dan Vietnam masih belum, jadi saya fikir kami sudah ada momentum di situ,” ujarnya.