Vietnam mengumpul enam mata selepas dua perlawanan untuk menjadi satu-satunya pasukan yang melayakkan diri ke pusingan kalah mati daripada Kumpulan B setakat ini.

Kekalahan Malaysia pula meletakkan mereka di anak tangga ketiga dengan tiga mata, di belakang tuan rumah Myanmar yang menundukkan Kemboja 3-1 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B hari ini.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Malaysia merupakan lawan yang sukar namun kami bernasib baik dapat menjaringkan gol walaupun pada penghujung permainan.

“Saya sememangnya yakin kami mampu melepasi peringkat kumpulan. Walaupun ada beberapa pemain saya jatuh sakit disebabkan cuaca panas di sini namun pemain saya saling memberi motivasi di antara satu sama lain untuk mengetepikan tekanan yang dihadapi.

“Saya berasa lega dengan keputusan perlawanan yang dicatatkan pada hari ini dan saya gembira.

“Saya tidak kisah siapa lawan yang bakal kami hadapi di peringkat separuh akhir. Kami pernah berjumpa Singapura, Indonesia dan Filipina yang kesemuanya mempunyai barisan pemain berkualiti.

“Bagi saya, mana-mana pasukan yang layak ke separuh akhir semuanya kuat,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Persaingan dalam Kumpulan A di Manila kini diterajui Thailand yang mengumpul enam mata, diikuti Filipina dengan dua mata manakala Singapura dan Indonesia masing-masing mengumpul satu mata.

Sementara itu, penjaring gol ke atas Malaysia, Trong Hoang tetap memohon maaf kepada peminat Vietnam kerana melepaskan beberapa peluang sebelum gol ketika permainan berbaki 10 minit menjadi penentu keputusan.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat menghasilkan lebih banyak gol walaupun dihidangkan dengan beberapa peluang bagus namun saya tetap berpuas hati kerana berjaya menjaringkan gol kemenangan,” katanya.