Walaupun berdepan misi sukar kerana Harimau Malaysia bakal bermain di hadapan ribuan penyokong tuan rumah namun bagi Raiful Bahri Yusof dia tetap optimis tiga mata mampu menjadi milik Harimau Malaysia.
“Saya tetap berkeyakinan tinggi Malaysia mampu bangkit untuk melakar kemenangan dalam aksi terakhir. Saya fikir, taktikal ketika bertemu Vietnam tempoh hari sudah tepat sebab Vietnam menerapkan corak permainan laju.
“Hanya disebabkan kesilapan pada 10 minit terakhir iaitu kita gagal bertahan menyebabkan kita kalah. Tetapi saya tetap menaruh harapan Malaysia dapat menumpaskan Myanmar,” katanya.
Kira-kira 100 penyokong setia dari Kuala Lumpur mengiringi Harimau Malaysia di stadium sejak hari pertama perlawanan pada Ahad lalu dan sorakan mereka jelas menyuntik semangat kepada pemain-pemain.
Dalam pada itu, sebagai penyokong setia Raiful berkata dia tidak berasa satu kerugian selepas datang dari jauh untuk melihat Malaysia bermain walaupun skuad negara tewas 1-0 kepada Veitnam dalam perlawanan kedua kumpulan pada Rabu lalu.
“Nak kata rugi itu tidaklah, cuma kecewa itu tetap ada. Tetapi inilah yang dikatakan bola sepak. Kami boleh terima kekalahan itu dengan baik… tiada masalah, tetapi harap pasukan dapat bangkit dalam perlawanan terakhir nanti.
Sementara itu, seorang lagi peminat Harimau Malaysia, Khalid Mohd. Ahwan berkata dia berharap skuad Kim Swee dapat memperbaiki pertahanan untuk memastikan Myanmar kecewa esok.
“Saya harap Malaysia dapat memperbaiki kelemahan untuk perlawanan terakhir nanti. Ralat juga kerana Malaysia kalah (kepada Vietnam) disebabkan bolos saat akhir. Saya harap Malaysia tunjukkan aksi lebih baik selepas ini,” katanya.