Liverpool bakal menerima kunjungan Sunderland di Anfield esok dan kemenangan akan memberi tekanan kepada pendahulu Chelsea yang akan menentang Tottenham di Stamford Bridge dalam perlawanan sebelah malam.

Coutinho, yang merupakan antara tonggak penting Liverpool musim ini, menganggap kemampuan Klopp telah menyumbang kepada prestasi cemerlang yang ditunjukkan Reds.

“Kami pernah menjadi pasukan yang tidak begitu yakin dengan diri sendiri.

“Namun hari ini semua pemain beraksi dengan selesa dan kekuatan itu datang daripada jurulatih. Peranan jurulatih telah membawa kepada keputusan serta prestasi kami di padang.

“Saya suka dengan latihan taktikal yang kami lakukan, banyak yang kami buat. Dia (Klopp) mengajar kami untuk memberi tekanan kepada lawan ketika kami tidak menguasai bola.

“Kemudian, kami mula menguasai permainan setiap kali mendapat bola. Semuanya adalah mengenai keyakinan dan mentaliti yang jurulatih berikan kepada kami,” katanya.

Sunderland akan ke Anfield berbekalkan kemena­ngan dalam dua perlawanan terakhir Liga Perdana iaitu ke atas Hull City (3-0) dan Bournemouth (2-1), sekali gus menamatkan kemarau 10 perlawanan tanpa kemenangan.

Kemenangan itu mengeluarkan skuad bimbingan David Moyes dari dasar liga, namun masih berada di zon penyingkiran de­ngan menghuni kedudukan ke­dua tercorot.

Walaupun bakal berdepan lawan yang sedang bergelut, namun Klopp enggan mengambil mudah cabaran skuad Black Cats dan menganggap dua kemena­ngan berturut-turut yang diraih pasukan itu telah mengembalikan keyakinan mereka.

“Perkara paling penting adalah mendapat keyakinan dan Sunderland memilikinya sekarang.

“Kami tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka, 100 peratus tidak dibenarkan. Tiada mata yang sudah terjamin, kami mesti berjuang untuk mendapatkan mata.

“Kalau sesiapa di stadium mengambil mudah cabaran mereka, maka saya akan beritahu…itu adalah kesilapan terbesar,” kata Klopp, yang hanya mampu melihat pasukannya seri 0-0 di Southampton minggu lalu untuk membenarkan Chelsea merampas takhta liga.

Liverpool sekali lagi akan bermain tanpa bintang tengah Adam Lallana yang masih bergelut dengan kecederaan pangkal paha ketika beraksi bersama England.

Sunderland pula tidak pernah menang ke atas Liverpool di Anfield sejak 1983 dan mereka perlu menamatkan penantian panjang itu jika berhasrat mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, sekali gus keluar dari zon pe­nyingkiran.

Pemain pertahanan Sunderland, Jason Denayer yang di­pinjam daripada Manchester City menyeru rakan-rakan sepasukannya agar menggunakan peluang untuk memahat kemenangan bersejarah di Anfield.

“Pasti sesuatu yang bagus jika Sunderland berjaya mencatat kemenangan pertama di Liverpool dalam tempoh lebih 30 tahun.

“Kami akan ke sana dengan fikiran positif selepas memena­ngi dua perlawanan terakhir. Kita tengok apa yang akan berlaku nanti, tetapi kami tidak boleh beraksi bersama mentaliti kalah,” kata pemain antarabangsa Belgium itu.