West Ham menghalang United mengutip mata penuh apabila mengikat mereka dengan keputusan 1-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris Ahad lalu yang menyaksikan pengendali Red Devils, Jose Mourinho diarah keluar padang selepas menyepak botol air dalam keadaan marah.

Keputusan itu melebarkan rekod permulaan terburuk United dalam liga sejak 1989 selepas seri empat perlawanan terakhir di laman sendiri dan Hererra memberi amaran kepada skuad kendalian Slaven Bilic bahawa mereka sudah bersedia untuk membalas dendam.

“Bagus juga kami akan bermain Rabu ini, kerana berpeluang membalas dendam. Kami boleh mengubah nasib kami menerusi perlawanan Piala Liga.

“Tidak kira dalam apa juga persaingan, apa juga perlawanan, kami hanya mahu menang. Kami mahu berjuang sebaik mungkin dan menggembirakan penyokong.

“West Ham adalah pasukan yang hebat, bukan mudah menghalang mereka daripada mencipta peluang. Mereka memiliki (Manuel) Lanzini, (Diafra) Sakho, (Dimitri) Payet, (Michail) Antonio. Mereka semua pemain yang hebat.

“Mereka (West Ham) hanya mencipta dua peluang sepanjang perlawanan. Kami lebih dominan, jadi kami berharap Rabu ini kami dapat mencipta sebanyak mungkin peluang untuk menang,” kata Hererra yang menjuarai Piala FA musim lalu bersama United.

United akan beraksi tanpa Paul Pogba dan Marounne Fellaini yang digantung perlawanan.