Kelab Merseyside itu, yang kali terakhir menjadi juara England pada 1990 sebelum bermulanya Liga Perdana Inggeris, kini menghuni anak tangga kedua dengan berada satu mata di belakang pendahulu Chelsea.
Liverpool menumpaskan Sunderland 2-0 hujung minggu lalu namun kemenangan tersebut dibayar dengan kecederaan pemain perancang Philippe Coutinho yang mengalami masalah serius di bahagian buku lali dalam perlawanan tersebut.
Pemain kebangsaan Brazil itu telah menjaringkan lima gol musim ini namun bekas pemain tengah Scotland, Souness berkata Liverpool memiliki individu yang mampu mengisi kekosongan itu.
“Sudah tentu memberi tamparan hebat. Saya pernah menjadi kapten di sana dan turut dianggap pemain terbaik, namun apabila saya tidak dapat bermain dalam 10 perlawanan, mereka menang kesemuanya.
“Sewaktu musim ini bermula, saya menjangkakan mereka akan menamatkan persaingan dalam kelompok empat teratas, tetapi kini saya meletakkan sasaran lebih tinggi.
“Buat masa ini kita belum masuk bulan Disember lagi. Dulu, Liverpool tewas kepada Manchester City dalam perlawanan pada Boxing Day dan menduduki anak tangga ke-12 liga, semua orang menafikan peluang kami namun kami masih menjuarainya.
“Jadi untuk memilih siapa yang akan menang pada ketika ini amat sukar. Tetapi dalam kalangan calon-calon, Chelsea adalah yang menakutkan bagi saya.
“Mereka tidak memerlukan penguasaan bola untuk menang. Tetapi Liverpool buat begitu, Manchester City buat begitu, Arsenal buat begitu. Chelsea sebaliknya menggunakan pendekatan pragmatik. Mereka sukar untuk dikalahkan.
“Mereka dilihat seakan tahu apa yang perlu dilakukan dan Diego Costa dan Eden Hazard adalah ancaman terbesar. Kesemua itu boleh berubah pada bulan depan,” katanya.