Sebelum ini, Cheng Hoe dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa pasukan Liga Super kerana kontrak semasanya bersama skuad Lang Merah tamat pada bulan ini.
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang tidak mahu kehilangan jurulatih kesayangan mereka itu telah menawarkan kontrak baharu kepada Cheng Hoe bagaimanapun pengendali berusia 48 tahun itu mengakui dia masih belum membuat keputusan muktamad kerana mahu memikirkan tawaran tersebut terlebih dahulu kerana baru pulang dari luar negara.
“KFA sudah menawarkan kontrak baharu kepada saya tetapi saya belum tandatangan apa-apa lagi sebab saya belum buat keputusan. Saya memerlukan sedikit masa untuk membuat pertimbangan kerana saya baru balik dari luar negara dan sebab itu saya belum mahu buat keputusan.
“Saya akan membuat keputusan dalam masa terdekat,” kata Cheng Hoe yang baru pulang selepas menjalani kursus kejurulatihan selama 10 hari di Belgium bermula 16 November lalu.
Melihat kepada kejayaan yang dicipta oleh Cheng Hoe sepanjang dua tahun bersama Kedah bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan dan jika KFA tidak dapat mengekalkan khidmatnya sudah pasti banyak pasukan mahukan jurulatih itu yang dianggap antara yanbg terbaik di negara ini.
Cheng Hoe turut dilihat mengendalikan sesi latihan pra-musim Kedah sejak semalam di Kedah.
Cheng Hoe adalah individu yang bertanggungjawab membawa Kedah muncul juara Liga Perdana pada 2015, kejayaan yang membolehkan mereka kembali bersaing dalam Liga Super.
Selain itu, dia turut membantu Lang Merah melangkah ke final Piala Malaysia tetapi tewas 0-2 kepada Selangor.
Kedah bagaimanapun membalas dendam ke atas Selangor dalam perlawanan akhir Piala Malaysia apabila menang menerusi sepakan penalti penentuan 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Shah Alam pada 30 Oktober lalu.