Kekalahan pertama selepas 19 perlawanan mungkin bukan sesuatu yang mencemaskan, namun melihat bagaimana reaksi Gunners ketika dikejutkan oleh Southampton, yang turut membuat lapan pertukaran, cukup untuk menjelaskan mengapa peminat tidak gembira.
“Kami memiliki pemain yang sudah biasa beraksi dalam kejohanan lebih tinggi, tetapi hari ini kami tiada kesungguhan untuk menang.
“Penyokong meletakkan harapan tinggi dan terpulang kepada kami untuk memberi apa yang mereka mahukan.
“Kami tidak bertahan dengan bagus dan melepaskan gol-gol mudah. Malam ini antara malam yang anda boleh bermain selama dua jam tetapi tidak dapat menjaringkan gol. Kami tidak cukup tajam pada babak pertama, sebaliknya lawan lebih tajam dan cergas,” kata Wenger.
Walaupun pengurus Arsenal itu mengelak untuk membuat penilaian atau menyalahkan pemain secara individu, namun ada beberapa aspek yang mendapat perhatiannya dalam perlawanan di Stadium Emirates.
Lucas Perez diturunkan sebagai penyerang tengah dan pemain Sepanyol itu jelas tidak berkesan. Carl Jenkinson pula mengetuai bahagian pertahanan dan dia bertanggungjawab atas kedua-dua jaringan yang diperoleh Southampton.
Kemasukan Aaron Ramsey yang diharap mengubah permainan pada babak kedua bagaimanapun dibayangi oleh pemain muda yang merupakan produk akademi Southampton, Harrison Reed.
Pasukan pelawat menunjukkan aksi lebih cemerlang dengan membuka jaringan menerusi Jordy Clasie pada minit ke-13, sebelum Ryan Bertrand membawa The Saint melangkah ke separuh akhir Piala Liga untuk kali pertama dalam tempoh 30 tahun dengan meledak gol kedua pada minit ke-38.
“Persembahan yang sangat cemerlang kerana perlawanan ini adalah profil yang berbeza. Kami lebih klinikal pada babak pertama. Dua gol daripada dua percubaan, saya suka situasi ini.
“Kami mempamer aksi yang menarik, meraih keputusan yang bagus dan menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi. Saya gembira dengan apa yang mereka lakukan,” kata pengurus Southampton, Claude Puel.