Satu lagi perlawanan separuh akhir mempertemukan Liverpool dengan Southampton.

Sementara itu Jose Mourinho memuji anak-anak buahnya yang mem­pamerkan permainan cantik ketika membenam West Ham United 4-1 di Old Trafford.

United bergelut dalam Liga Per­dana Inggeris dengan empat kali mencatat keputusan seri di laman sendiri sehingga menyumbang kepada permulaan terburuk mereka sejak 1989.

Bagaimanapun dalam Piala Li­ga, United menghasilkan beberapa gerakan menarik ketika berdepan West Ham dalam suku akhir hari ini, dan menyempurnakan pe­nguasaan mereka menerusi Zlatan Ibrahimovic dan Anthony Martial yang masing-masing menjaringkan dua gol.

“Saya gembira dengan cara gol dihasilkan kerana prestasi yang ditunjukkan adalah sesuatu yang sememangnya gaya permainan pemain. Kami bermain dengan sa­ngat, sangat bagus di laman sendiri dan hari ini lebih daripada biasa.

“Selepas gol itu (jaringan pe­­n­ya­­­maan West Ham), kami seakan hilang arah dalam tempoh 10 minit dan pemain tidak dapat menyembunyikan kekecewaan me­reka kerana itu adalah percubaan pertama West Ham dan mereka menyamakan kedudukan.

“Tetapi dalam babak kedua, pasukan kami mendapat keyakinan semula untuk bermain dan menang dengan selesa serta mempamerkan permainan menyerang yang cantik, sesuatu yang disukai oleh peminat. Tetapi kami perlukan keputusan,” kata Mourinho.

Mourinho tidak kelihatan di tepi padang seperti biasa kerana sedang menjalani penggantungan susulan insiden dia menendang botol air sewaktu United terikat 1-1 dengan West Ham dalam persaingan liga Ahad lalu.

United memperoleh gol pertama pada awal permainan apabila Henrikh Mkhitaryan menggunakan tumit untuk mengumpan bola kepada Ibrahimovic.

Ashley Fletcher, yang meninggalkan United pada Julai, menyamakan kedudukan pada minit ke-35 selepas David de Gea membenarkan percubaan Dimitri Payet melantun jauh darinya.

Tetapi Martial menjaringkan dua gol sebelum Ander Herrera mengumpan kepada Ibrahimovic untuk gol keempat United pada penghujung permainan.