Bertandang ke tempat lawan terutama untuk mengekalkan kedudukan di puncak liga pasti satu ujian besar buat Chelsea yang sejak kebelakangan ini mempa­mer peningkatan prestasi menuju ke penghujung tahun 2016.

Kejayaan terbaru menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 minggu lalu merupakan kemenangan ketujuh berturut-turut yang dicatat The Blues dalam liga domestik – satu pencapaian yang boleh dianggap terbaik sejak 2010.

City yang sedikit merudum prestasi mereka tetapi masih belum kalah di tempat sendiri musim ini, menyedari hakikat bahawa hanya kemena­ngan mampu membolehkan mereka merampas takhta liga daripada Chelsea.

“Jadi ia satu ujian besar buat kami kerana City juga bukan calang-calang pasukan. Jika hendak dibandingkan prestasi kami dua bulan lalu, tentulah sukar untuk menang ke atas Tottenham tempoh hari tetapi keadaan sekarang sudah berbeza,” kata Conte.

Berban­ding Chelsea, prestasi City pula dilihat sebaliknya. Dua bulan lalu, mereka di puncak liga selepas menang kesemua enam perlawanan awal musim, namun kini prestasi yo-yo mereka menjadi masalah.

Apa yang boleh membantu City ketika ini adalah sentuhan taktikal Guardiola untuk me­ngubah nasib mereka. Ini ditambah City sudah kembali memiliki barisan terkuat terutama dengan kehadiran semula Yaya Toure, John Stones, Ilkay Gundogan, David Silva dan Kevin De Bruyne.

“Chelsea bermain seminggu sekali (tanpa saingan Eropah). Mudah bagi mereka mempersiapkan pasukan dan mengambil kesempatan daripada keadaan kami yang kurang rehat.

“Kadang-kadang sukar untuk kami kembali fokus. Anda perlu kuat dari segi mental dan fizikal untuk bersaing,” kata Toure baru-baru ini mengulas jadual ketat City untuk aksi Eropah dan liga domestik.