Kertas injunksi itu, dilihat oleh AFP hari ini, mendakwa apa yang dipanggil ‘Football Leaks’ yang diterbitkan minggu lalu boleh dianggap menyalahi hak privasi kerana bahan itu didakwa diperoleh menerusi serangan siber ke atas Senn Ferrero, iaitu sebuah firma perunding cukai kepada personalti sukan.
Dalam injunksi itu, Hakim Arturo Zamarriego telah meminta kerjasama badan kehakiman Eropah untuk menghentikan semua 12 media yang membentuk konsortium kerjasama, termasuk akhbar Sepanyol El Mundo, Der Spiegel di Jerman dan Mediapart di Perancis daripada terus menerbitkan maklumat tersebut.
Pendedahan pertama diterbitkan pada Jumaat lalu, hari sama injunksi itu dikeluarkan, adalah berkaitan “satu sistem” yang didakwa digunakan oleh Jorge Mendes iaitu ejen kepada Ronaldo dan Jose Mourinho, yang merupakan pengurus Manchester United ketika ini.
Mereka mendakwa bintang Real Madrid dan Portugal, Ronaldo mungkin telah “menyembunyikan 150 juta euro atau RM717.5 juta (hak penggunaan imej) di Switzerland dan British Virgin Islands”.
“Daripada jumlah ini, penyerang itu hanya membayar 5.6 juta euro (RM26.77 juta), atau tidak sampai empat peratus,” kata laporan itu.
Ronaldo dan Mourinho bertegas mereka telah memenuhi semua undang-undang fiskal Sepanyol dan Britain.
Bagaimanapun, pihak berkuasa cukai Sepanyol masih menyiasat dakwaan itu.
Pada Jumaat lalu, Gestifute yang merupakan syarikat milik Mendes berkata bahawa dokumen yang dibocorkan itu diperoleh pada Mac lalu menerusi serangan siber ke atas “beberapa pertubuhan berkaitan dengan bola sepak dunia”.
Bagaimanapun, dalam laporan Isnin lalu, Mediapart menolak dakwaan berlakunya serangan siber itu sebaliknya berkata sumber “Football Leaks” menafikannya.
“Ini adalah percubaan untuk menapis (maklumat) secara menyeluruh ke atas seluruh benua (Eropah),” katanya.
Dalam minggu-minggu mendatang, pertubuhan media itu, yang turut dianggotai The Sunday Times di Britain, berkata mereka juga akan melaporkan dakwaan berkaitan pelacuran dan eksploitasi berkaitan bola sepak.