Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, keputusan sama ada PKNS FC dapat bertanding dalam Liga M 2017 atau sebaliknya bakal terungkai selepas badan induk itu mengadakan Mesyuarat Undang-Undang pada minggu depan.
“PKNS FC, PBMS dan FAS sudah pun menghantar dokumen lengkap kepada FAM hari ini.
“Sama ada penyertaan mereka sah atau tidak masih belum dapat dipastikan lagi kerana kami (FAM) perlu meneliti segala dokumen tersebut sama ada mengikut peraturan atau tidak.
“Jadi, keputusan sama ada PKNS FC boleh beraksi dalam Liga M pada musim depan hanya akan terjawab pada minggu depan,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan PKNS membuat keputusan meninggalkan FAS untuk bernaung di bawah PBMS bagi meneruskan penyertaan mereka dalam Liga Super 2017.
Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Footbal Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam melanjutkan tempoh kepada PKNS FC untuk menghantar penyertaan mereka selewat-lewatnya pada hari ini.
Dalam pada itu, Kevin turut memberitahu pihaknya perlu menunggu pengesahan daripada FAM bahawa tindakan PKNS menjadi ahli gabungan PBMS adalah sah.
Sebagai rekod, Presiden PKNS, Siti Zubaidah Abd. Jabar mengesahkan kelab tersebut telah keluar daripada FAS dan menjadi ahli gabungan baharu PBMS secara rasmi pada Selasa lalu.