Tarikh itu merupakan hari penting bagi Kafa yang mengadakan mesyuarat khas untuk menentukan hala tuju mereka sebelum Liga Malaysia (Liga M) 2017 dibuka Januari ini.
Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail mengakui, pihaknya mengalami masalah kewangan yang amat serius sehingga kantung persatuan kosong untuk membiayai pasukan musim depan.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya tidak mendapat sebarang tajaan dan paling mengecewakan apabila Kerajaan Pas Kelantan tidak memberi apa-apa bantuan kepada persatuan tersebut.
“Kami berharap mendapat bantuan kerajaan negeri namun sehingga hari ini masih tidak dapat bertemu Menteri Besar, tidak seperti negeri lain seperti Kedah dan Terengganu, kerajaan negeri membantu persatuan menguruskan pasukan.
“Kalau tak ada penaja juga, saya tidak nafi mungkin kita tarik diri daripada Liga M musim depan,” katanya.
Badan induk bola sepak Kelantan itu memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan pasukan kekal bersaing secara kompetitif namun persatuan masih bergelut mencari sumber kewangan selepas Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan Presiden, awal bulan lalu.
Sebelum ini, pengurusan Kafa menawarkan kepada Kerajaan Pas Kelantan untuk mengambil alih teraju kepemimpinan bagaimanapun ditolak Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Rosmadi berkata, pihaknya terpaksa mengambil langkah drastik biarpun akan mengecewakan banyak pihak terutama penyokong.
“Mungkin orang luar melihat kita selesa apabila telah memulakan latihan tetapi sebenarnya tidak, latihan perlu diteruskan kerana masih ada pemain yang mempunyai kontrak.
“Kita sedar ini adalah langkah mengundur ke belakang tetapi tanpa dana kita tidak boleh bergerak ke hadapan tetapi kita amat berharap ada pihak sudi menaja Kelantan bagi mengelakkan episod hitam ini berlaku,” katanya.
Mengulas mengenai tajaan RM16 juta daripada pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman musim lalu, beliau berkata, Dr. Vida berhasrat untuk mengundur diri biarpun masih mempunyai baki kontrak setahun.
“Dr. Vida mahu supaya kontrak itu ditamatkan dengan persefahaman bersama namun sehingga kini masih tidak ada kata putus,” ujarnya.