Kekalahan mengejut 4-3 kepada Bournemouth pada aksi terakhir liga, Ahad lalu menyebabkan Liverpool ditinggalkan empat mata di belakang pendahulu, Chelsea dan anak-anak buah Jurgen Klopp tidak boleh mengalami satu lagi kekalahan atau bakal keciciran lebih banyak mata dalam perebutan kejuaraan.

Sedar Liverpool akan melakukan apa sahaja untuk bangkit daripada kekalahan itu, Bilic mahu menyediakan pasukan terbaik bagi memastikan West Ham tidak menjadi mang­sa kebangkitan Reds di Anfield.

“Kami akan berdepan perlawanan yang besar, ia antara pertarungan paling sukar dalam jadual pertan­dingan. Kami tidak mungkin me­nerima laluan mudah di Anfield.

“Saya harap beberapa pemain yang cedera sempat pulih untuk beraksi di Liverpool. Kalau kami dapat menurunkan beberapa tonggak yang sebelum ini direhatkan, maka kami ada peluang yang baik.

“Walaupun kami berdepan krisis kecederaan, namun sudah tentu kami tidak akan mengambil risiko merehatkan separuh daripada pasukan kerana lawan kami adalah Li­verpool. Kami perlu menurunkan barisan terbaik untuk berdepan pasukan ini,” kata Bilic.

Skuad Hammers dijangka kembali mendapatkan khidmat bekas penyerang Liverpool, Andy Carroll, selain pemain pertahanan, Aaron Cresswell, Michail Antonio (tengah) serta Cheikhou Kouyate.

Liverpool pula bakal mendapat semula sentuhan Joel Matip yang terlepas perlawanan menentang Bournemouth akibat kecederaan buku lali untuk menguatkan bahagian pertahanan tengah

Perancang utama, Adam Lallana yang dibawa masuk sebagai pemain gantian minggu lalu dijangka mengisi kesebelasan utama, manakala Sadio Mane disahkan cergas untuk pertemuan menentang West Ham.

Penyerang England, Daniel Sturridge bagaimanapun dikeluarkan akibat kecederaan.